Mohammad Huzailan Haji Kassim mengharumkan nama negara apabila berjaya mendapat tempat kedua dalam kategori menghafaz 20 Juz di Musabaqah Tahunan Putera Sultan bin Abdulaziz Bagi Pertandingan Menghafaz Ayat Suci al-Quran dan Sunah Rasulullah Peringkat Asia Tenggara Kedua yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 27 hingga 29 Disember.
Brunei menerusi Kementerian Hal Ehwal Ugama menghantar rombongan lapan orang iaitu tujuh peserta dan diiringi seorang pegawai, Haji Mohammad Termizi Haji Mahmood.
Sehubungan itu, rombongan yang pulang dari Indonesia itu dialu-alukan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Haji Bahrom Pengiran Haji Bahar serta pegawai kanan kementerian di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Dalam kategori menghafaz 20 Juz, Mohammad Huzailan berjaya mendapat tempat kedua dan menerima hadiah sijil penyertaan, wang tunai sebanyak 8,500 Riyal dan tiket penerbangan menunaikan ibadah haji.
Mohammad Huzailan ketika ditemui media meluahkan perasaan gembira kerana memenangi tempat kedua. Beliau tidak menyangka mendapat keputusan itu kerana saingan yang hebat dari peserta negara lain terutamanya Indonesia dan Malaysia.
Pertandingan itu diselenggarakan bersama Kedutaan Arab Saudi di Indonesia dengan kerjasama Departemen Agama Republik Indonesia. Seramai 115 peserta mengambil bahagian dari 11 negara termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Kemboja, Myanmar, Tajikistan, Uzbekistan dan Kazaktan.